Insiden Tidak Bersalaman Dengan Sultan Johor, Mukhriz Akhirnya Mohon Maaf

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir memohon maaf kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar susulan tindakannya tidak bersalaman dengan baginda pada Khamis.

Kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Kedah, Mohd Fisol Jaafar memaklumkan bahawa satu surat permohonan maaf telah diutuskan oleh Mukhriz kepada Istana Johor pada Jumaat.

” Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini telah mengutus surat kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bagi memohon ampun dan maaf atas kekhilafan beliau tidak bersalaman dengan baginda di Istana Sultan Abu Bakar, Pahang semalam.

” Menteri besar Kedah telah menyembah maklum kepada baginda bahawa Kekhilafan tersebut adalah kerana kealpaan beliau sendiri dan tidak menggambarkan sifat sopan santun rakyat Kedah Darul Aman”.

Insiden tersebut berlaku ketika Sultan Ibrahim memberi penghormatan terakhir kepada Almarhum Sultan Ahmad Shah Al Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar.

Video Mukhriz tidak bersalaman dengan Sultan Ibrahim menjadi tular di media sosial dengan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Jumaat turut berkongsi sebuah video berdurasi 14 saat yang dimuat naik di Twitter Friends of Johor.

Dalam rakaman tersebut, Mukhriz dilihat tidak bersalaman dengan Sultan Ibrahim sebaliknya terus bersalaman dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah yang berdiri di sebelah kiri Sultan Ibrahim.

Dalam pada tu Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim turut berkongsi video yang memaparkan Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir tidak bersalaman dengan ayahandanya, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Beliau bagaimanapun tidak mengulas kejadian itu secara langsung tetapi hanya meletakkan lambang isyarat tangan seperti sedang menyembah.

Menerusi  video 14 saat itu, Mukhriz dilihat hanya menyembah sultan Johor tetapi berlalu tanpa menghulurkan tangannya untuk bersalaman dengan baginda.

Namun Mukhriz dilihat bersalaman dengan pihak lain dalam barisan sultan-sultan dan kerabat selepas itu.

Beberapa minit sebelum berkongsi video itu, Tunku Ismail terlebih dahulu berkongsi gambar baginda dan ayahandanya yang bersalaman dengan Mahathir.

Hubungan Mahathir dan istana Johor sebelum ini tegang, antaranya menjelang pemilihan menteri besar dan isu Statut Rom yang kemudian menyebabkan Malaysia menarik diri.

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih.

Sumber: mstar via asiakini.com