Hujan Lebat..! Polis ini minta motosikal yang ditunggang suami isteri bersama 2 anak kecil berhenti.

Kisah ini berlaku pada awal tahun lalu. Seiring dengan peredaran zaman, kita sering melihat berlakunya peningkatan kes-kes jenayah bukan sahaja di Malaysia tetapi juga seluruh dunia. Saban hari, ada sahaja kejadian-kejadian menggemparkan yang terjadi sehingga ada yang mengakibatkan nyawa melayang.

Namun begitu, masih terdapat ramai insan berhati mulia yang wujud di dunia ini dan sanggup melakukan apa sahaja demi membantu orang lain yang dalam kesusahan.

Pada 17 Januari lalu, tular kisah mengenai beberapa anggota polis yang membantu masyarakat dengan cara yang sungguh menyentuh hati. Dikatakan empat anggota yang sedang membuat rondaan di sekitar kawasan Iskandar Puteri, Johor telah menahan sepasang suami isteri bersama anak kecil mereka di tepi jalan.

Namun, tindakan anggota polis ini menahan pasangan dari suku kaum Asli itu bukanlah atas niat untuk menyaman mereka sebaliknya bagi menghulurkan bantuan dengan menumpangkan mereka menaiki kereta peronda polis.
Hal ini demikian kerana cuaca pada ketika itu hujan dan angin agak kencang menyebabkan kesemua anggota polis tersebut bersimpati dengan situasi yang perlu dihadapi oleh kedua-dua pasangan yang hanya menunggang motosikal sambil mengendong dua anak mereka.

Kredit: Facebook Polis Johor

Kejadian yang dilaporkan berlaku di kilometer 5.2 lebuhraya Iskandar Sultan ternyata memaparkan sikap positif sebenar yang ditunjukkan oleh anggota polis Malaysia. Kesemua anggota polis yang terlibat dalam insiden ini dikenali sebagai Koperal Hisham, Lans Koperal Mazin Raj, Koperal Firdaus dan juga Konstabel Tawfik.


Kredit: Facebook Polis Johor

Mereka telah menjemput si isteri bersama dua anak mereka yang berusia tiga tahun dan 19 bulan untuk menaiki kereta berkenaan. Malah, keluarga ini turut dihantar pulang dengan selamat ke rumah mereka yang terletak di Kampung Simpang Arang, Gelang Patah.

Difahamkan selepas penyebaran berita ini, rata-rata netizen meluahkan rasa terima kasih mereka di atas budi dan tindakan murni yang dilakukan oleh keempat-empat anggota polis itu.
Seorang netizen memberi komen, “Ini menunjukkan masih terdapat polis baik di luar sana dan bukan semuanya terlibat dengan rasuah. Tahniah kepada wira-wira ini.”

Sumber: World of Buzz, Polis Johor via erabaru / celotehsaje