Dari Geladangan Jalanan Ke CEO Syarikat. Rupanya Lelaki Tular Brokoli Buah Tangan Dan Butang Baju Lego Ini Bukan Calang-Calang, Jelaskan Maksud Tersirat Kenapa Buat Bergitu.

Kreatif dan memang lain dari kebiasaan.

BROKOLI dan miniatur lego, kombinasi dua item yang langsung tidak berkaitan dan sama sekali tidak pernah difikirkan dek akal akan menjadi aksesori di hari perkahwinan.

Namun dua item itu menjadi pilihan pasangan pengantin baharu, Mohamed Nasaruddin Jaafar dan Nurhayati Aznan yang disatukan pada 19 Februari lalu.

Mohamed Nasaruddin atau lebih mesra disapa Nasa ketika dihubungi mStar Online memberitahu brokoli menjadi pilihan isterinya untuk dijadikan bunga tangan kerana mahukan kelainan, selain tidak mahu membazir.

“Sebenarnya kalau dia luar negara ramai yang jadikan brokoli sebagai bunga tangan. Mungkin di Malaysia jarang ada, jadi orang pelik. Lagipun isteri saya mahukan kelainan. Idea tersebut nampak segar dan ringkas.

“Dari kami membazir beratus ringgit untuk benda pakai buang yang mahal, brokoli tersebut hanya berharga RM3.68. Sebaiknya duit yang boleh dibazirkan itu kami utamakan untuk kegiatan amal lain,” katanya yang bergiat aktif dalam aktiviti amal bersama gelandangan, ibu tunggal, anak yatim dan keluarga kurang berkemampuan sejak empat tahun lalu.

Dalam pada itu, Nasa berkata brokoli mempunyai maksud tersendiri yang mana ia mengimbas detik pertemuan mereka kira-kira empat tahun lalu.

“Brokoli sayur pertama yang saya makan masa mula-mula kenal dengan wife. Brokoli dalam tom yam. Saya sebenarnya tak makan sayur… orang kampung celup.

“Lagipun keluarga dulu tak mampu nak beli ikan… sayur. Semua ternak atau tanam sendiri. Ayam belakang rumah, sayur kangkung tepi rumah, kebun ubi dekat seberang,” katanya dalam nada berseloroh.

Mengenai miniatur lego yang dilihat sebagai pengganti kepada butang baju melayunya pada hari pernikahan mereka, Nasa berkata beliau sekadar mahu menampakkan sedikit hasil kerja tangan pada baju pengantin sebelah lelaki.

“Asalnya nak lengkapkan baju supaya sebelah lelaki pun ada custom made sendiri memandangkan sebelah isteri semua hasil kerja tangan sendiri daripada baju kurung moden sehinggalah layah (veil).

“Baju kurung moden kosong warna putih isteri beli RM59, kemudian dia tambah renda, mutiara dan berlian dalam harga RM48 untuk nampak lebih cantik. Jadi kos keseluruhan baju tu dalam RM107,” katanya.

Jelas Nasa, beliau tidak menjangka butang baju lego tersebut akan menjadi tular di media sosial.

“Saya tak sangka viral. Saya tiada sebab ketara mengenai perkara itu kecuali saya sendiri tahu nilai dan potensi perniagaannya.

“Bermula bulan ini kami memperkasakan gelandangan untuk menghasilkan butang lego dan pelbagai barangan berkaitan perkahwinan. Bagi mereka (gelandangan) kerja ada bergaji kemudian jual,” katanya.

Nasa yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) beberapa syarikat berasaskan kebajikan berkata, sehingga hari ini mereka menerima tempahan luar biasa untuk menghasilkan butang lego tersebut.

“Sehingga hari ini kami dapat 3,000 tempahan. Nak bagi gelandangan bukan makanan sahaja tetapi peluang berdiri di kaki sendiri.

“Ini kerana saya sendiri dulu geladangan, tidur tepi jalan selama setahun pada 2013 dan 2014. Jadi saya mahu bantu golongan ini memperbaiki kehidupan mereka,” katanya.

Lebih mengejutkan, pemuda berusia 34 tahun itu mendedahkan majlis perkahwinan mereka hanya menelan belanja kurang RM3,000.

“Semuanya hanya menelan belanja kurang RM3,000 termasuk makan malam khas. Kami hanya buat benda wajib tak perlu ikut adat. Sekadar ikut apa yang dituntut agama. Makan malam semeja bersama yang hadir. Itu lebih bermakna.

“Saya dulu perancang perkahwinan jadi sanding tu bukan satu kemestian. Bak kata isteri saya konsep berjimat dalam majlis perkahwinan tidak bermakna kita korban benda yang kita mahu,” katanya.

Sementara itu, Nasa enggan ambil pusing kecaman netizen yang menganggap mereka kedekut gara-gara berbelanja sederhana untuk majlis perkahwinan mereka.

“Semua kami buat sendiri termasuk doorgift, dulang hantaran dan kad jemputan kahwin. Orang ramai ingat kami kedekut padahal kami bukan tak mampu. Kami mahu menghasilkan segalanya custom made kerana ia lagi bermakna. Pengalaman itu kekal selamanya.

“Kami sebenarnya mempunyai inisiatif sosial kami sendiri. Doorgift dibungkus dan dihasilkan gelandangan dan ibu tunggal. Saya mahu buktikan kita mampu bergembira sambil bantu orang lain. Tak perlu tunggu kaya nak bantu orang lain,” katanya.

Gambar perkahwinan pasangan ini diulang kicau sebanyak 9,636 kali dan mendapat 7,261 tanda suka selepas dikongsi jurugambar mereka, Raja Mohamad Nazrin Raja Mudzafar Shah di Twitternya baru-baru ini.

Raja Mohamad Nazrin yang menawarkan perkhidmatan jurugambar bebas berkata dia berkongsi gambar tersebut kerana merasakan ia unik.

“Ini pengalaman pertama saya dapat pasangan seperti mereka. Sebelum ini banyak guna bunga tangan biasa tapi tak sangka ini lain daripada yang lain… sangat unik,” katanya.

Artikel Berkaitan: Ubah persepsi sukarelawan, kemanusiaan

Selama empat bulan dirinya hidup di jalanan sebagai gelandangan dek tekanan melampau yang dialaminya kira-kira lima tahun lalu.

Episod hitam itu bermula apabila rakan yang dianggap seperti saudara sendiri tergamak ‘menikamnya’ dari belakang, malah sanggup pula menyingkirkannya daripada perniagaan fotografi yang dibina.

Berbekalkan RM150, Mohamed Nasaruddin Jaafar terpaksa merayau di sekitar ibu kota tanpa arah tujuan dan selama itulah dia tidur di jalanan untuk meneruskan hidup.

Bagaimanapun, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu. Mohamed Nasaruddin akhirnya bangkit daripada kegagalan hingga kini menerajui dan menjadi ketua pegawai eksekutif (CEO) beberapa syarikat yang antaranya bertujuan kebajikan.

Kesempatan menemu ramah figura berasal dari Ipoh, Perak ini banyak memberi pengajaran berguna, lebih-lebih lagi memikirkan bagaimana seorang yang pernah melalui saat paling gelap dalam hidupnya kini mampu berdiri dan membina hidup baru lebih gemilang.

“Jarang saya ceritakan kisah silam yang pernah membuatkan saya murung berbulan-bulan. Saya bangkit mengubah diri dan berjaya meskipun berdepan pelbagai cabaran getir.

“Semuanya bermula selepas ayah meninggal dunia pada 2013 akibat jangkitan kuman dalam paru-paru. Sebelum itu, saya menjaganya di hospital dan tempat itu seakan-akan rumah kedua buat saya.

“Tidur di lantai hospital itu memang biasa, bahkan hampir semua kakitangan di wad mengenali saya. Ketika itu saya bekerja di hotel dalam bidang pengurusan sehinggalah ayah meninggal, saya tiada lagi tempat mengadu memandangkan ibu lebih dulu menghadap Ilahi.

“Saya anak angkat yang dijaga arwah ibu dan ayah sejak berusia dua bulan. Selepas kematian mereka, saya menumpang di rumah kakak tapi tidak lama kerana tidak mahu menyusahkannya.

“Di Ipoh pula, memang sukar mencari pekerjaan ketika itu dan akhirnya nekad berhijrah ke ibu kota. Tapi, ia tidak semudah disangka apabila saya masih tidak dapat mencari pekerjaan,” katanya.

Mohamed Nasaruddin kemudian dipelawa seorang rakan tinggal bersamanya dan rakan itu turut meminjamkan kamera untuk digunakan mengambil gambar sebagai sumber pendapatan.

Katanya, tugasan mengambil gambar dilaksanakan bersungguh-sungguh hingga dia sama sekali tidak menyangka memperoleh pendapatan di luar jangkaan.

Pada masa sama, katanya, dia turut menawarkan perkhidmatan percetakan dan rekaan laman web hingga mampu memperoleh keuntungan agak besar.

Dikhianati rakan

Demi membalas kebaikan rakannya itu, Nas berbesar hati menjadikannya rakan kongsi syarikat dan sejak itu mereka berjaya menarik minat pelabur besar ke dalam syarikat.

Disangkakan perkongsian bersama rakannya itu akan membawa lebih banyak manfaat, sebaliknya dia perlu berdepan satu lagi episod duka dalam hidup apabila ‘ditendang’ keluar dari syarikat yang dibinanya sendiri.

“Ketika itu, saya bertugas mengambil gambar perkahwinan di Perak dan apabila pulang ke pejabat dan rumah, semua kunci ditukar dan saya tidak dapat masuk.

“Puas saya hubungi rakan tapi tidak berjawab. Saya hanya mendapat pesanan ringkas daripadanya mengatakan perlu keluar dari syarikat itu atas permintaan pelabur.

“Saya baru saja pulih daripada kesedihan akibat kematian ayah dan tidak sangka rakan tergamak ‘menikam’ saya begini. Saya keluar sehelai sepinggang, berbekalkan RM150 di tangan dan komputer riba.

“Saya tidak tahu hendak ke mana, duit pula ada dalam akaun syarikat. Ketika itu memang saya tertekan dan kehidupan sebagai gelandangan bermula di sekitar Medan Tuanku, Kuala Lumpur.

“Kerana kekurangan wang, saya pernah mengutip makanan tidak habis dimakan di restoran makanan segera dan minum air paip.

“Sekali setiap dua minggu saya beli sekeping roti canai dan menggunakan lebihan kuah kari untuk dicicah dengan roti buku selama beberapa hari untuk mengalas perut,” katanya.

Empat bulan lamanya dia berkeadaan sebegitu hinggalah dia mula sedar dan membuka komputer riba untuk mencari peluang mendapatkan wang.

Katanya, berbekalkan pengalaman sebelum ini, dia mula mencari pelanggan menerusi Facebook untuk mengambil khidmat rekaan grafik, dengan pendapatan pertama sebanyak RM250.

Kebetulan pula, wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak RM500 juga masuk ke akaunnya dan dengan sejumlah RM750, dia pulang ke Ipoh untuk memulakan hidup baru.

“Satu hari, saya berjalan sekitar bandar ini dan berjumpa lebih 80 gelandangan. Saya mula edarkan nasi lemak kepada mereka walaupun saya sendiri kesempitan wang.

“Saya buat laman web e-perdagangan untuk mendapat duit dan terus membantu gelandangan dengan pelbagai program membina yang dapat mengubah nasib mereka,” katanya.

#bantuONE

Menurut Mohamed Nasaruddin, berbanding komuniti gelandangan di Kuala Lumpur, individu gelandangan di Ipoh tidak bertumpu di satu kawasan dan itulah dorongan baginya untuk mewujudkan program #bantuONE. Dengan idea umum membantu gelandangan, Nas akhirnya sedar pendekatan yang berbeza amat diperlukan.

“Apabila saya mula mendekati golongan ini, saya dapati ada lebih 80 orang yang perlu dibantu. Apa yang kita perlukan adalah penyelesaian kekal.

“Oleh itu, dengan pengalaman peribadi saya, penyelidikan serta kemahiran sebagai pemasar kandungan dan pereka pengiklanan, #bantuONE yang ditubuhkan pada Oktober 2013 melaksanakan strategi berbeza untuk menyelesaikan masalah gelandangan secara berperingkat.

“Ia bertujuan mengubah persepsi orang ramai mengenai sukarelawan dan kemanusiaan untuk memasukkan golongan gelandangan ini sebagai sebahagian daripada program kebajikan, ditambah menanamkan tabiat positif menderma.

“Ipoh, kampung halaman saya adalah lokasi ujian untuk #bantuONE dan jika berjaya, modul ini boleh digunakan untuk negeri lain,” katanya.

Katanya kini, dia bukan sekadar memberi makanan kepada gelandangan, tetapi juga mengumpulkan maklumat dan membina pangkalan data, yang membolehkannya membantu mereka dengan lebih baik.

Menurutnya, terdapat 1,001 persoalan tidak akan dijawab golongan ini kerana ketakutan, sebaliknya dengan menjadi kawan, mereka berkongsi cerita dengan kita. Dia cuba membantu dari segi memadankan mereka dengan pekerjaan yang sesuai jika ada peluang.

Katanya, komuniti gelandangan terdiri daripada pelbagai latar belakang yang berbeza. Oleh itu, bantuan seperti memberi makanan saja tidak akan berfungsi.

Malah dia kini turut meningkatkan sumber kewangan melalui perniagaan reka bentuk grafiknya sendiri dan turut menceburi bidang e-perniagaan seperti ipohbazaar.com, kotakhidup.com selain pasar lambak dan bazar makanan yang semuanya akan dikendalikan oleh gelandangan, anak yatim.

Tubuh yayasan

Waktu terluang mengajar anak yatim seminggu sekali dan menjalankan aktiviti membina pasukan bagi meningkatkan kreativiti dan membina keyakinan diri mereka.

Sekitar 2016 hingga 2017, dia turut membina beberapa syarikat seperti percetakan, laman web, pengiklanan, agensi model dan sebagainya dalam satu sistem untuk usahawan baru bermula menjimatkan kos dengan pakej yang lebih rendah berbanding pasaran.

Selain itu, Mohamed Nasaruddin turut bergiat aktif dalam memastikan perniagaan dijalankan dapat memberi manfaat kepada orang lain dengan mengasaskan Yayasan Global Changemaker.

Yayasan itu turut mendapat kerjasama usahawan tempatan dan antarabangsa yang menggunakan kepakaran masing-masing untuk membantu usahawan lain.

“Antara projek terkini yang dijalankan menerusi yayasan adalah pertanian kontrak dan chalet terapung. Ini bukan saja memberi peluang pekerjaan kepada golongan sasar, malah membantu mereka membina perniagaan sendiri.

“Terkini, program Havoc Raya 2018 dianjurkan dengan menawarkan gelandangan, pelajar universiti dan ibu tunggal peluang pekerjaan untuk menguruskan program yang berlangsung di Cheras Sentral Mall, Kuala Lumpur.

“Dalam program itu, mereka berpeluang belajar mengenai pengurusan acara dan kita juga sediakan peluang perniagaan kepada mereka.

“Kami tidak mahu beri mereka sumbangan sekali beri, sebaliknya kita sediakan mereka barangan untuk diniagakan. Mereka ini perlu diajar untuk tingkatkan hidup dengan usaha sendiri kerana sampai bila mereka perlu mengharapkan bantuan.

“Tugas kita adalah mencipta peluang dan persekitaran untuk golongan ini membina hidup. Sehingga kini, kita tidak menerima dana daripada mana-mana pihak kerana saya tidak mahu sesetengah pihak menggunakan kebajikan untuk kepentingan diri dan organisasi,” katanya.

Dia kini menggalas tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Yayasan Global Changemaker BantuOne.org, Virtual Run (M) Sdn Bhd dan That HomeCook Company.

Selain itu, dia turut terbabit sebagai Pengarah Eksekutif Aqua North Sdn Bhd, Spa Q Universe Sdn Bhd, Magna Velvet Events dan NKiss Consulting Sdn Bhd.

Sumber : nalurikini.com