TERBARU: TH batal subsidi haji jemaah rayuan, pengiring tahun ini.

Lembaga Tabung Haji (TH) membatalkan pemberian subsidi kepada jemaah haji yang berjaya dalam rayuan dan mana-mana individu yang menjadi pengiring mahram, bagi mengerjakan haji tahun ini.

Dengan tindakan TH yang kali pertama dibuat tahun ini, bermakna semua jemaah haji yang berjaya dalam rayuan mereka, dan mana-mana mahram yang menjadi pengiring perlu membayar penuh RM22,900, walaupun kali pertama mereka mengerjakan haji.

Pengumuman mengenai langkah terbaharu TH itu dijelaskan dalam laman Facebook ‘Official-Lembaga Tabung Haji’, semalam sebagai menjawab persoalan yang dikemukakan netizen.

Seorang pengguna Facebook, yang menggunakan nama Sufikau mengemukakan soalan: “Bagaimana pula subsidi untuk yang membuat rayuan dan peneman mahram walaupun kali pertama juga pergi haji? Adakah kos yang sama?”

Menjawab soalan itu Official: Lembaga Tabung Haji berkata:

“Untuk makluman subsidi haji hanya diberikan kepada bakal haji yang terpilih bagi tahun semasa di mana tahun peruntukan adalah tahun ini 1440H/2019M dan yang menunaikan haji buat kali pertama secara Muassasah.

“Bagi pengiring atau yang merayu dan berjaya, ini bermakna mereka pergi menunaikan haji lebih awal dari tahun peruntukan dan tidak layak mendapat subsidi haji. Terima Kasih.”

Menjawab persoalan dibangkitkan Ana Sabrina Ab Rahim, yang mengatakan pada tahun-tahun sebelum ini jemaah rayuan dan pengiring kali pertama diberi subsidi, Official: Lembaga Tabung Haji berkata:

“Untuk makluman, ini sejajar dengan peningkatan kos langsung pengendalian haji seperti kos penerbangan, perkhidmatan kesihatan, pengangkutan, penginapan, sajian dan kos masyair. Tabung Haji memilih tahun ini kerana setelah berpuas hati bahawa syarat istitoah yang ditekankan beberapa tahun difahami oleh sebilangan besar umat Islam.”

Terdapat seorang pengguna Facebook dikenali dengan Hamidah Niaga yang bertanya sama ada sudah keluar kenyataan rasmi daripada Tabung Haji sendiri tentang hal ini.

Soalan itu pula dijawab oleh salah seorang pengguna Facebook lain dikenali sebagai Suzana Liwan yang mengatakan sudah ada kenyataan tersebut.

Sebelum ini, bakal haji termasuk jemaah rayuan dan pengiring hanya perlu membayar RM9,980 sahaja untuk mengerjakan ibadah haji buat kali pertama, dan jumlah itu tidak pernah berubah sejak 2009.

Bagaimanapun, di bawah kerajaan sekarang ini, kemudahan itu tidak lagi diberikan kepada jemaah haji yang berjaya dalam rayuan dan pengiring mereka, walaupun tahun ini adalah kali pertama mereka mengerjakan haji.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata, kerajaan menanggung RM12,920 subsidi untuk setiap mereka yang menunaikan haji kali pertama.Katanya, subsidi itu diberi walaupun dalam keadaan tertekan berikutan masalah kewangan yang dihadapi oleh Tabung Haji.

Sumber: ismaweb.net
Cara Daftar Haji Tanpa Deposit RM1300 (Akaun KWSP & Tabung Haji)

Mungkin ramai yang ingin menunaikan haji tetapi tidak tahu cara daftar haji yang betul selain faktor tidak cukup duit atau pun masih muda remaja. Sebenarnya kita disarankan agar membuat pendaftaran haji dengan segera jika mempunyai niat untuk itu.

Mungkin ada yang menganggap tidak perlu daftar haji dulu dan menunggu selepas mempunyai duit yang cukup barulah mendaftar. Tahukah anda, jika anda mendaftar tabung haji pada masa sekarang, belum tentu anda dapat pergi ke Mekah pada tahun depan. Silap hari bulan lagi 10 tahun barulah dapat menunaikan haji.

Cara Daftar Haji Guna KWSP Akaun 1

Sekiranya anda berniat untuk mendaftar, sila daftar haji sekarang walaupun anda tidak mempunyai wang simpanan berjumlah RM1300 dalam akaun Tabung Haji. Mengapa? Kerana untuk membuat pendaftaran haji pada hari ini sangat mudah dengan hanya menggunakan akaun KWSP untuk pendaftaran Tabung Haji jika anda adalah seorang pencarum KWSP.

Rugi sekiranya anda tidak mengambil peluang ini. Tambah rugi lagi kerana daftar haji tidak perlu bayar apa-apa sekalipun. Semuanya diambil dari akaun 1 KWSP. Adalah lebih baik menggunakan pengeluaran KWSP akaun 1 kerana akaun ini tidak boleh dikeluarkan sehinggalah berumur 55 tahun nanti.

Sebenarnya, Lembaga Tabung Haji (TH) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP atau EPF) telah lama berkerjasama untuk memudahkan semua pencarum bagi menunaikan Rukun Islam yang kelima ini, mungkin ramai yang terlepas pandang.

Berikutnya adalah beberapa langkah yang mudah sekiranya anda ingin membuat pendaftaran haji menggunakan KWSP;

* Bawa penyata KWSP terkini dan kad pengenalan MyKad ke Pejabat Tabung Haji atau mana-cawangan terdekat.

* Sila maklumkan kepada pegawai Tabung Haji yang bertugas bahawa anda ingin membuat pendaftaran haji guna KWSP.

Syarat-syarat Mendaftar Haji KWSP

Syarat kelayakan untuk daftar haji adalah individu yang mempunyai akaun Tabung Haji dan jika tiada akaun TH anda boleh buka akaun Tabung Haji segera dengan RM10 sahaja. Anda juga seorang ahli KWSP dan untuk membuat Pendaftaran Haji Ahli KWSP anda perlu penuhi syarat berikut;

1. Warganegara Malaysia atau Penduduk Tetap

2. Agama Islam

3. Pemilik Akaun Tabung Haji

4. Simpanan akaun 1 KWSP sekurang-kurangnya RM1300

5. Belum berumur 55 tahun pada tarikh pendaftaran

Setelah proses pendaftaran untuk menunaikan haji anda selesai, anda hanya perlu menunggu panggilan untuk giliran sahaja. Bersabarlah, masa untuk pergi ke Mekah akan sampai juga. Insha Allah.

Sumber: mediamaklumat.com via realmerah.com