Subhanallah, Ini Sebab Bagaimana Tiba-Tiba Muncul Rumput Ala Karpet di Daerah Yan, Kedah

Selepas tular jerami gulung, kini orang ramai di sekitar daerah Yan ‘dianugerahkan’ lagi dengan panorama indah ‘rumput karpet’ yang tumbuh di dalam tali air Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Keindahan semulajadi yang terdapat di Kampung Pulau Tembun menarik perhatian ramai yang tidak melepaskan peluang mengambil gambar sejak awal pagi.

Menurut Muhammad Afiq Che Wang,19, dia bersama empat rakannya bagaimanapun terpaksa menunggu hari cuti sekolah bagi melihat sendiri fenomena yang jarang berlaku itu.

Katanya keadaan rumput yang tumbuh menghijau sepanjang tali air MADA membuktikan kekuasaan Allah SWT yang menghidupkan rumput subur di atas tanah kering kontang akibat musim panas.

“ Cuaca sekarang sangat panas, kebanyakan sawah sudah dituai manakala tali air ini kering, tetapi di sebalik tanah yang merekah, ada tumbuhan yang boleh hidup dan mewarnai tali air ini.

“ Selepas tular minggu lalu, saya mengajak rakan-rakan untuk bergambar, kerana terlalu teruja kami mengambil gambar dengan gaya baring dan meniarap di atas rumput yang sangat cantik seperti karpet,” katanya yang juga pelajar sekolah menengah agama di Alor Setar.

Bagi seorang peniaga, Firdaus Hassan,28, dia sanggup datang dari Merbok untuk menyaksikan sendiri rumput karpet seperti yang tular di media sosial.

Katanya rumput itu dikenali sebagai rumput air di kalangan petani selepas ia tumbuh di dalam ‘sungai’ yang berlumpur.

“ Walaupun kawasan sawah di sini tidak boleh dicari dalam peta Google, tapi saya sanggup bertanya orang ramai untuk menyaksikan sendiri panorama yang mungkin hanya beberapa tahun sekali sahaja terutama semasa musim panas terik.

Orang ramai mengambil kesempatan bergambar di kawasan ‘rumput karpet’. KREDIT FOTO Noorazura Abdul Rahman

“ Warna rumput ini sangat cantik. Sebelum mula musim menanam tidak lama lagi, saya harus merakam gambar sebanyak yang boleh untuk dijadikan kenangan, entah bila lagi fenomena cantik ini akan berlaku.

Sementara itu, Ketua Cawangan Komunikasi Korporat MADA, Mohd Hafizi Zakaria berkata, pihaknya menyedari kewujudan rumput terbabit yang tumbuh berikutan MADA tidak membekalkan air ketika musim menuai.

“ Sekarang ini hampir keseluruhan kawasan itu sudah dituai… tiada bekalan air dibekalkan dalam masa sekarang kerana tiada keperluan di ladang ditambah dengan cuaca panas menyebabkan tali air tersebut kering.

“ Bekalan air akan dibekalkan semula apabila bermula Penanaman Padi Musim 1/2019 yang dijangka bermula penghujung April ini,”katanya ketika dihubungi.

Lihat video di bawah

Sumber : KL Viral