“Saya tak nak hidup gila-gila” – Tak tahu bila akan ‘pergi’, Khabib takut disoal di akhirat

SATU sisi menarik mengenai juara Lightweight dunia, Khabib Nurmagomedov pastinya berkisar mengenai kehidupan peribadinya yang jarang dikongsi dengan umum.

Memiliki seorang isteri dan dua anak, dia tidak gemar berkongsi kisah hidupnya dengan orang ramai.

Setiap kali pulang ke kampung halaman, Khabib tinggal bersama dengan isteri, anak, ibu dan bapanya di sebuah apartmen.

Selain berlatih, dia tidak melupakan ibadah dan gemar mendengar muzik Rusia.

Sewaktu ditemui Los Angeles Times suatu ketika dahulu, Khabib menegaskan agama dan iman adalah perkara terpenting dalam hidupnya.

“Kamu pergi ke masjid sebab tiada sesiapa pun yang sempurna.

“Semua buat silap dan mesti mohon keampunan dengan Allah. Kita harus bersikap jujur dan ia adalah perkara paling penting dalam hidup,” kata Khabib.

Malah, dia juga mahu menjadi inspirasi yang baik kepada golongan muda di luar sana.

“Saya lihat Nate Diaz menghisap ganja dalam TV. Saya tak mahu anak-anak saya hisap ganja.

“Ada sebab kenapa kita ada di sini. Saya tak hisap rokok dan minum.

“Bukan kerana saya jaga kesihatan untuk kerjaya sukan tetapi kerana saya Muslim,” ujarnya lagi.

Menerusi temubual itu, Khabib mengakui takut kerana tidak tahu bila masanya dia akan meninggal dunia.

“Saya ada keluarga, anak, kawan dan kerjaya. Saya dah umur 30. Berapa lama saya akan hidup?

“Saya tak nak hidup gila-gila. Saya percaya apabila meninggal, Allah akan tanya segala perbuatan saya,” katanya lagi.

Atlet berusia 31 tahun itu dan pasangannya berkahwin pada 2013, bermakna mereka meraikan ulang tahun perkahwinan keenan tahun ini.

Mereka menyambut kelahiran bayi perempuan pada 1 Jun 2015 dan bayi lelaki, dua tahun kemudian.

Namun tidak dapat dipastikan siapa nama sulung Khabib manakala anak lelakinya hanya dikenali sebagai Mohammed.

Mereka sekeluarga tinggal di Makhachkala di Republik Dagestan.

sumber: Mstar