RM300 – RM1,200 denda hilang pasport

KUALA LUMPUR: Berkuat kuasa Rabu lalu, orang ramai yang mahu menggantikan kehilangan dan kerosakan pasport akan dikenakan denda RM300 sehingga RM1,200.

Perintah denda itu terkandung dalam Perintah Fi (Pasport dan Visa) (Pindaan) 2019 bertarikh 20 Disember 2018 yang digazetkan minggu ini.

Perintah yang disiarkan di laman sesawang rasmi Pejabat Peguam Negara itu dikeluarkan oleh Setiausaha Jemaah Menteri, Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

Menurut perintah itu, individu yang mahu membuat penggantian pasport buat kali pertama ekoran kehilangan dan kerosakan akan dikenakan denda sebanyak RM400.

Bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dan pelajar berusia 21 tahun yang belajar di luar negara pula, denda sebanyak RM300 akan dikenakan.

Sementara, bagi penggantian pasport kali kedua, denda sebanyak RM700 akan dikenakan manakala bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dan pelajar berusia 21 tahun yang belajar di luar negara, denda sebanyak RM600 akan dikenakan.

Jika pemilik kehilangan pasport buat kali ketiga, denda sebanyak RM1,200 akan dikenakan manakala RM1,100 bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dan pelajar berusia 21 tahun yang belajar di luar negara.

Sebelum ini, pemilik yang kehilangan dokumen berkenaan tidak dikenakan sebarang denda atau bayaran.