Ibu hamil nyaris termakan anggur berjarum!

SINGAPURA: Satu pasangan dari Melbourne, Australia, menemui dua jarum dalam buah anggur yang dibeli di sebuah pasar raya, Selasa lalu.

9 News di Melbourne melaporkan bahawa Skender Hasa dan pasangan, Shams Alsubaiy terkejut dengan penemuan itu.

Hasa telah membeli satu pek anggur tanpa biji dari rangkaian kedai Woolworths di pinggir bandar Craigieburn.

Alsubaiy menemui jarum tersebut semasa mengambil anggur hijau selepas makan malam.

“Bila kami potongnya sehingga terbelah, terdapat jarum di dalamnya,” kata Hasa kepada 9 News.

Penemuan satu lagi jarum berlaku selepas mereka membelah setiap biji anggur di dalam pek berkenaan.

Absubaiy bersyukur kerana tidak termakan jarum tersebut.

“Syukur kerana saya tidak memakannya. Saya hamil dan saya tidak mahu apa-apa berlaku.”

Polis Australia mengesahkan mereka sedang menyiasat insiden itu.

“Semua laporan pencemaran yang dirujuk kepada polis akan disiasat dengan teliti, bagi memelihara keselamatan dan kesejahteraan orang awam,” kata polis dalam satu kenyataan kepada News.com.au.

Polis menggesa orang ramai melaporkan sekiranya mengalami kes yang sama.

Mereka memberi amaran bahawa sesiapa yang didapati mencemarkan produk makanan boleh didakwa melakukan kesalahan yang serius dengan penalti sehingga 10 tahun penjara.

Woolworths berkata dalam satu kenyataan: “Kami menyedari laporan pelanggan dan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa sepanjang siasatan.”

September tahun lalu, beratus-ratus kes jarum ditemui di dalam buah strawberi di Australia.

Pasar raya menarik balik kotak dari rak di premis mereka di seluruh Australia dan New Zealand, manakala petani terpaksa membuang hasil tanaman mereka.