“Hari ini saya dan arwah Johan dapat menantu” – Nora

ANAK sulung penyanyi Nora Ariffin iaitu Mohd Syakir Iman, selamat bergelar suami kepada wanita pilihan hatinya, Eilya Sofea Azman pada Sabtu.

Nora, 45, memaklumkan mengenai perkara itu menerusi Instagram miliknya dengan memuat naik gambar bersama pasangan mempelai.

Isteri kepada komposer Allahyarham Johan Nawawi itu dalam kapsyen gambar tersebut turut mendoakan anaknya yang berusia 26 tahun dan menantunya berbahagia sehingga ke jannah selain mengalu-alukan kehadiran Sofea sebagai ahli keluarga mereka.

“Alhamdulillah… Syukur pada Allah. Hari ini saya dan arwah Johan dah dapat menantu.

“Mama berdoa Iman dan Sofea bahagia hingga ke jannah. Sama-sama kita doakan yang terbaik. Welcome to our family my dear Sofea,” tulisnya.

Majlis pernikahan pasangan itu berlangsung di Masjid Putra, Putrajaya.

Syakir yang turut dikenali dengan nama Mosyi pernah menghasilkan sebuah lagu berjudul Bulan itu mengikat tali pertunangan dengan Sofea pada 2017.

Nora Ariffin memberitahu perasaan rindu terhadap Allahyarham suaminya, Johan Nawawi masih menebal meskipun arwah sudah meninggalkan mereka pada 2017 lagi.

Bagaimanapun, Nora, 44, berkata dia perlu kuat berdepan ujian kehilangan insan tersayang ini demi anak-anak tercinta.

“Sesungguhnya pemergian Johan telah banyak mengajar saya erti kehidupan, hakikat dan takdir hidup yang sebenarnya, saya tak pernah terfikir dia akan pergi begitu cepat, saya belum bersedia.

“Rindu memang tak terkata, tapi kita hanya mampu merancang yang menentukan bukan kita, Allah saja yang tahu. Hingga kini, pelbagai cabaran, dugaan dan ujian yang harus ditempuhi, saya tiada pilihan.

“Semuanya harus diredah dengan penuh kesabaran, ketabahan dan senyuman untuk menutup segala keperitan. Demi anak-anak… saya harus kuat,” katanya.