Dari istana untuk rakyat, Perbuatan Permaisuri Ini Dipuji Netizen

PAHANG antara negeri yang sering dilanda banjir pada musim tengkujuh namun dalam keadaan itu, rakyat yang berpindah di pusat pemindahan banjir sentiasa mendapat keistimewaan – masakan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar.

Tunku Azizah yang hari ini bergelar Raja Permaisuri Agong adalah anak raja yang cukup dikenali dengan hobi suka memasak malah sanggup menyinsing lengan baju semata-mata untuk ‘beraksi di dapur’ bagi memasak lauk-pauk bagi memastikan mangsa banjir mendapat makanan lazat dan mencukupi sepanjang berada di situ.

Nor Mastuza Abdul Aziz, 52, yang berpeluang membantu Tunku Azizah memasak ketika daerah Pekan dilanda banjir pada 2014 dan 2015, menyifatkan baginda tukang masak yang cekap dan mendapat pujian ramai.

“Ayam masak merah dan sardin antara menu yang sering jadi pilihan tuanku. Jika Tunku Azizah memasak, baginda tidak suka ikan dipotong saiz kecil sebaliknya baginda lebih suka memasaknya dalam saiz asal.

“Baginda pernah bertitah, jika hendak menjamu orang, biarlah dia dapat makan sepuas hati dan kenyang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Nor Mastuza yang berpengalaman membantu baginda memasak di pusat pemindahan Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah (SHAH), Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Mahmud Mat dan Sekolah Kebangsaan Sinar Mutiara, Pekan pada waktu itu turut menyifatkan Tunku Azizah wanita yang sangat berkebolehan dalam bidang masakan.

“Baginda memang pantas memasak…jadi kami hanya tolong hulur bahan saja.

“Bahan masakan juga sudah siap dibersihkan, dipotong, diperap dan dibawa khas dengan menaiki helikopter atau trak tentera (bergantung pada laluan yang selamat).

“Baginda juga suka buat sendiri, jadi kami hanya membantu dan berbual-bual dengan baginda.

“Tuanku biasanya mengambil masa singkat untuk memasak, seperti 20 minit untuk siapkan ayam masak merah.,.yang lama sikit bila membabitkan kerja menggoreng,” katanya.

Bagi Pengerusi Pertubuhan Perkumpulan Wanita (WI) cawangan Sepekan Jaya, Ruziah Awang, 60, pengalaman membantu Tunku Azizah memasak kenangan manis yang sentiasa dikenang.

“Baginda peka dengan keperluan rakyat terutamanya ketika memerlukan.

“Baginda turun padang dan berusaha menyediakan menu yang enak bagi menggembirakan mereka yang ditimpa musibah. “Kehilangan dan kesedihan mangsa akibat tragedi banjir sedikit terubat dengan kehadiran baginda yang turut beramah mesra dengan mereka di pusat pemindahan,” katanya.

Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dalam upacara penuh adat istiadat di Istana Negara, di sini.

Turut melafaz sumpah memegang jawatan ialah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Baginda berdua dipilih oleh Raja-Raja Melayu pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-251 (Khas) di Istana Negara pada 24 Jan lepas, bagi tempoh lima tahun bermula hari ini.

Malaysia adalah sebuah daripada 43 negara di dunia yang mengamalkan sistem pemerintahan raja berperlembagaan dan satu-satunya negara yang mengamalkan sistem penggiliran dalam kalangan sembilan raja Melayu.

Sultan Abdullah, 59, dan Sultan Nazrin, 62, melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan di hadapan Raja-raja Melayu dari Negeri Sembilan, Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Johor, Kelantan (diwakili Tengku Mahkota Kelantan) oleh dan Pahang yang diwakili Pemangku Raja serta Yang Dipertua Negeri Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak selain dif-dif kenamaan yang mewakili badan eksekutif, perundangan dan kehakiman.

Istiadat di Balairung Seri itu diadakan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-252 (Khas) yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Surat Sumpah jawatan itu kemudiannya ditandatangani oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail sebagai saksi.

Sultan Abdullah turut menandatangani Surat-surat Perisytiharan Memegang Jawatan Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kemudiannya membacakan kandungan surat perisytiharan itu, bermulanya secara rasmi Sultan Abdullah sebagai Ketua Negara baharu Malaysia berdasarkan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Memanjatkan doa ke hadrat Allah SWT, Mufti Negeri Sabah Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar memohon kesejahteraan ke atas baginda berdua serta seluruh rakyat dan negara ini.

Sultan Abdullah menggantikan Sultan Muhammad V, yang meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 pada 6 Jan selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 13 Dis 2016.

Terdahulu, keberangkatan Sultan Abdullah ke Istana Negara selepas istiadat keberangkatan tiba di Dataran Parlimen diiringi kenderaan pengiring diraja.

Sultan Abdullah menerima Kawalan Kehormatan Darjat oleh Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja terdiri daripada tiga pegawai dan 31 anggota yang diketuai Mej Mohd Azwan Ariff Mohd Azawi sebaik kenderaan diraja yang membawa Yang di-Pertuan Agong melintasi pasukan itu ketika menuju Anjung Utama, Istana Negara.

Serentak itu, Pancaragam Pusat Rejimen Renjer Diraja yang dianggotai seorang pegawai dan 33 anggota dipimpin Mej Abdul Aziz Abdullah memainkan lagu Negaraku.

Keberangkatan tiba Seri Paduka disambut Datuk Paduka Maharaja Lela Mej Jen (B) Datuk Mamat Ariffin dan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

Sultan Abdullah diiringi Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu, Tengku Mahkota Kelantan dan Pemangku Raja Pahang serta kesemua Yang Dipertua Negeri ke Balairung Seri bagi istiadat melafaz dan menandatangani surat sumpah jawatan diikuti perisytiharan memegang jawatan.

Usai istiadat berkenaan, Sultan Abdullah dan Sultan Nazrin berkenan bergambar bersama-sama dengan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-raja, Tengku Mahkota Kelantan dan Pemangku Raja Pahang serta kesemua Yang Dipertua Negeri, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri.

Yang di-Pertuan Agong turut berkenan menerima menghadap dif-dif kenamaan antaranya Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum, Ketua Hakim Syarie Datuk Mukhyuddin Ibrahim, Peguam Negara Tommy Thomas, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohamad Ariff Md Yusof, Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri S. Vigneswaran dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar pada Istiadat Sembah Kenal.

Jangan lupa komen yang baik baik sahaja dan sila like share.

Sumber : Astro Awani / BERNAMA