16,000 penjawat awam berdepan risiko dibuang kerja?

PUTRAJAYA – Seramai 16,000 penjawat awam dijangka akan kehilangan pekerjaan mereka selepas kerajaan memutuskan untuk melaksanakan kawalan saiz perkhidmatan awam.

Keputusan itu selaras dengan dasar baharu kerajaan bagi mengelakkan pembaziran dan meningkatkan kecekapan.

Dalam surat Jabatan Perkhidmatan Awam bertarikh 26 Disember lalu menyatakan Ketua Setiausaha Negara dalam mesyuarat Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Perkhidmatan Bil 10 Tahun pada 27 November telah menegaskan komitmen melaksanakan keputusan itu bermula tahun ini dengan pengurangan sebanyak satu peratus.

16,000 penjawat awam berdepan risiko dibuang kerja?

Kerajaan sebelum ini memutuskan kontrak perkhidmatan bagi pegawai dan kakitangan awam lantikan politik akan ditamatkan serta-merta.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pihaknya mendapati terlalu ramai pegawai kontrak dilantik bagi keperluan politik dan pentadbiran pada pemerintahan kerajaan terdahulu.

Beliau berkata, penamatan kontrak pegawai dan kakitangan kontrak itu penting bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan sekali gus mengelak pembaziran.

“Kami mendapati, seramai 17,000 pegawai dan kakitangan awam berstatus kontrak dilantik dan ada antara mereka sudah tamat kontrak, dan akan ditamatkan kontrak.

“Terlalu banyak pegawai kontrak dilantik sama ada untuk keperluan politik dan keperluan pentadbiran,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Katanya, kerajaan akan menyelesaikan isu berkenaan terlebih dahulu kerana ia boleh membebankan perbelanjaan kerajaan.

Bagaimanapun, Tun Dr Mahathir berkata, ada antara kakitangan kontrak termasuk pemandu peribadi dan kakitangan berjawatan rendah akan dipertimbangkan semula dalam kerajaan dan mereka tidak akan ditamatkan kerja.

“Ada antara mereka ini bergaji rendah dan ini menyusahkan mereka jika tiba-tiba mereka diberhentikan dan ditamatkan kerja sekali gus tiada bayaran gaji.

“Kita tidak perlu (menamatkan kerja mereka) dan oleh itu, kita akan beri jawatan lain yang sesuai dengan kelayaan mereka. Proses itu akan mengambil masa dan memerlukan penyelesaian keputusan segera,” katanya.

Sebelum ini, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memaklumkan mereka tidak menerima sebarang aduan berhubung dakwaan terdapat penjawat awam berstatus kontrak yang ditamatkan perkhidmatan.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata, pihaknya tidak menerima aduan sama ada secara lisan atau bertulis, sekali gus enggan membuat spekulasi sama ada dakwaan itu benar atau palsu.

Namun, katanya, beliau tidak menafikan kemungkinan ada pekerja yang dilantik atas kapasiti politik, ditamatkan perkhidmatan susulan individu yang melantik mereka sudah tidak lagi berada dalam kerajaan baharu.

Katanya, kakitangan lantikan politik pula bukan bawah CUEPACS dan adalah perkara biasa jika ditamatkan tugasan kerana kerajaan baharu ini mesti mahukan penasihat dan petugas mereka sendiri.

Isu pemberhentian penjawat awam berstatus kontrak diberhentikan timbul susulan peralihan kuasa daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pakatan Harapan (PH) dalam membentuk kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

Bilangan penjawat awam di seluruh negara adalah seramai hampir 1.7 juta.

Sambil itu bekas kakitangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yang dibubarkan tahun lalu masih ragu-ragu dengan jaminan kerajaan untuk menempatkan bekas pekerja ke jawatan lain.

Penjawat awam itu yang tidak mahu namanya didedahkan berkata, sehingga kini dia belum mendapat surat tawaran untuk ditempatkan dalam sektor kerajaan seperti dijanjikan.

“Katanya saya diserap ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), tetapi surat tidak dapat lagi. Kalau dapat surat legalah sikit.

“Bila hantar email dekat Kementerian Pengangkutan tidak dibalas. Orang nak hilang pekerjaan ini memang gelabah,” katanya kepada FMT.

Pada 2 Januari lalu, seorang bekas pekerja SPAD yang hanya mahu dikenali sebagai Wan memberitahu FMT dia bersama lebih 250 rakan sekerjanya masih menunggu penempatan semula ke agensi kerajaan lain.

Dia mendakwa ada dalam kalangan rakan sekerja yang ditempatkan di agensi lain dengan skop kerja jauh berbeza daripada tugas asal mereka di SPAD, sementara ada pula yang berdepan pemotongan gaji sehingga 60%.

Pada 4 Januari lalu, Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata, kira-kira 20% bekas pekerja SPAD belum menerima surat tawaran penempatan semula kerana masih menunggu kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam.

Dia juga mendedahkan kepada FMT ada juga rakannya yang merupakan bekas pekerja SPAD sudah mendapat surat tawaran kerja tapi ditarik balik dengan alasan tidak cukup kelayakan.

Katanya, ini kerana kelayakan yang dinilai oleh kerajaan sangat tinggi berdasarkan pengalaman dan kepakaran yang dimiliki.

“Misalnya ketika di SPAD dia bertugas di bahagian Sumber Manusia SPAD tetapi apabila diletakkan di bawah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) lain pula bidangnya.

“Kementerian Pengangkutan kata kami patut bersyukur sebab ada yang dibuang terus seperti dari Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa). Yang dibuang itu pekerja kontrak, sedangkan kami pekerja tetap,” katanya.

Dalam pada itu, dia berterima kasih kepada kerajaan yang memberi pampasan kepada bekas pekerja SPAD seperti yang dijanjikan.

Katanya, mereka sangat bergantung kepada wang pampasan sementara menunggu pekerjaan lain.

Sebelum ini, Loke berkata kerajaan membayar sejumlah RM23 juta pampasan kepada semua 961 bekas kakitangan SPAD pada 31 Disember lepas.

Beliau berkata pampasan tersebut sebahagian daripada usaha kerajaan memberi bantuan kepada kakitangan SPAD yang terjejas susulan pembubaran suruhanjaya itu yang diambil alih oleh APAD bermula 1 Januari lalu.

SPAD secara keseluruhannya mempunyai 999 kakitangan merangkumi pekerja tetap dan kontrak, selain pekerja dilantik bawah anak syarikat SPAD, iaitu SPAD Pro Berhad.

Loke berkata, pembubaran SPAD dapat menjimatkan kos perbelanjaan mengurus sebanyak RM38.5 juta setahun, manakala peralihan SPAD kepada APAD yang berperanan melaksanakan dasar pembangunan sektor pengangkutan awam darat, tidak lagi memerlukan penglibatan anggota.

Selain SPAD, Putrajaya turut membubarkan Jasa, Majlis Profesor Negara (MPN) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) di seluruh negara.

Sumber dari FMT via theklasik.com